Bunga Api Buat Kucing Takut? Ini Cara Tenangkan Kucing Malam Merdeka



Malam 31 Ogos memang meriah dengan sambutan Hari Kebangsaan dan pertunjukan bunga api. Tapi bagi sesetengah kucing, bunyi dentuman yang kuat boleh menjadi pengalaman yang menakutkan.

Jika kucing takut bunga api, anda mungkin nampak mereka tiba-tiba bersembunyi, berlari, mengiau atau menjadi lebih gelisah daripada biasa.

Kenapa Kucing Takut Bunga Api?

Pendengaran kucing jauh lebih sensitif berbanding manusia. Bunyi bunga api yang kuat dan berlaku secara tiba-tiba boleh menyebabkan kucing terkejut dan berasa terancam.

Antara tanda kucing sedang takut atau stress:

  • - Bersembunyi bawah katil atau sofa
  • - Telinga ke belakang
  • - Anak mata membesar
  • - Badan merendah atau menggigil
  • - Cuba melarikan diri
  • - Mengiau lebih daripada biasa
  • - Tidak mahu makan

1. Tutup Pintu & Tingkap

Sebelum bunga api bermula, pastikan semua pintu, tingkap dan laluan keluar ditutup dengan selamat.

Kucing yang panik boleh cuba melarikan diri tanpa menghiraukan persekitarannya.

2. Sediakan Tempat Untuk Bersembunyi

Jika kucing memilih untuk duduk bawah katil, dalam carrier atau tempat kegemarannya, biarkan.

Anda juga boleh menyediakan kotak atau ruang kecil dengan selimut supaya mereka mempunyai tempat yang terasa selamat.

Jangan paksa kucing keluar daripada tempat persembunyiannya.

3. Kurangkan Bunyi Dari Luar

Tutup langsir dan tingkap. Anda juga boleh memasang TV, kipas atau muzik pada volume sederhana untuk membantu mengurangkan bunyi mengejut dari luar.

4. Owner Pun Kena Tenang

Cuba kekalkan rutin seperti biasa.

Jika kucing datang mencari anda, beri perhatian dengan tenang. Tetapi jika dia mahu bersendirian, beri ruang.

Elakkan memegang atau mendukung kucing secara paksa ketika dia sedang panik kerana anda mungkin dicakar atau digigit.

Jangan Bawa Kucing Tengok Bunga Api

Walaupun kita rasa seronok nak bawa si bulus keluar sambut Merdeka bersama, kawasan sesak dan bunyi bunga api bukan persekitaran yang sesuai untuk kebanyakan kucing.

Lebih selamat biarkan mereka berada dalam ruang indoor yang terkawal.

Jika reaksi ketakutan kucing sangat teruk setiap kali terdengar bunyi kuat, berbincang dengan veterinar tentang cara pengurusan yang sesuai. Jangan berikan ubat penenang atau ubat manusia sendiri.

Kita enjoy sambutan Merdeka, tapi jangan lupa si bulus mungkin perlukan sedikit ketenangan malam ini.

Selamat Hari Kebangsaan ke-69 daripada MeowCasa Boutique Cat Hotel & Spa. ❤️
Categories: Cat Guide

Browse by categories